Wednesday, 16 July 2014

Pray4gaza

Hatiku terpanggil untuk menyatakan rasa yang meronta-ronta. Duhai Palestin, nasibmu tetap diratapi. Namun, apalah daya bagi insan yang kerdil ini untuk berjuang bersamamu melainkan doa yang ku titipkan. Pabila berbicara mengenaimu, tiada apa yang dapat ku pikirkan melainkan nasib rakyatmu yang terus menderita meskipun syahid itulah yang terus diburu oleh pejuang-pejuangmu yang terus menerus menghidu keharuman jannatul firdaus itu. Baru-baru ini dunia digemparkan dengan serangan bertalu-talu dari pihak rejim zionis laknatullah ketika mana keindahan serta kemuliaan Ramadhan itu sendiri dicabuli dengan rakusnya sehingga mengorbankan ramai penduduk palestin itu sendiri. Saban kali Ramadhan tiba, inilah antara kekejaman yang sering dilakukan oleh Israel laknatullah.

Di sebalik serangan tersebut, aku tertarik dengan tindak balas roket pejuang briged Al Qassam yang ternyata memberi impak kepada Israel. Kebanyakan daripada roket tersebut telah meletus di Tel Aviv dan tidak semena-menanya siren kecemasan pihak Israel berbunyi. Sungguhpun begitu, keupayaan roket J80 yang aku maksudkan ialah kehebatannya mengelak sistem pertahanan Israel iaitu Iron Dome. Untuk pengetahuan pembaca semua, Iron Dome merupakan sebuah sistem yang digunakan bagi memintas roket-roket yang datang ke Israel hasil daripada serangan pihak Palestin. Tapi apalah kehebatan manusia kalau di bandingkan dengan pejuangan yang di tolong Allah SWT dalam menegakkan syiarnya.
Percayalah saudara mahupun saudari sekalian, doa itu adalah senjata bagi orang mukmin.


"Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi".
(HR Hakim)


Sebagai seorang yang mengucapkan kalimah syahadah pastinya tidak melupakan saudara seislamnya meskipun bukan di tanah airnya sendiri. Oleh itu, utuskanlah doamu kerana Allah SWT itu maha mendengar rintihan hambanya. Mungkin ini adalah ujian dari Nya untuk melihat sejauh mana kecaknaan hambanya terhadap saudara seislamnya. Tidak perlulah kita mengharapkan bantuan bangsawan-bangsawan mahupun pemerintah dari negara Arab itu sendiri. Mata mereka hanya dikaburi harta mahupun wang berbilion yang melimpah ruah.

Percayalah bahawa Islam itu pasti bangkit!!





#0010

#140714

Friday, 11 July 2014

luahan hati....


Keheningan malam yang ditemani suria cinta. Mata yang masih belum layu untuk dibuai mimpi. Hadirnya semangat untuk meneruskan penulisan yang akan terus merungkaikan persoalan-persoalan yang terus bermain difikiran. “REVOLUSI” perkataan yang terus terngiang-terngiang di sudut pemikiranku. Sentiasa mengingatkan aku tentang seseorang yang sangat di hormati dan namanya telah di pahat dalam sejarah dunia. Che Guevara seorang pejuang sejati yang sentiasa aku kaitkan dengan pergerakan revolusi dunia. Sehingga hari ini masih lagi menjadi ikon bagi anak-anak muda dalam pejuangan mereka.

Bermula daripada pengembaraannya di amerika selatan hinggalah di saat kematiannya di Bolivia, dunia menyaksikan betapa kentalnya susuk tubuh seorang doktor waima juga seorang pejuang yang menegakkan hak-hak asasi manusia di sepanjang perjalanan hidupnya. Aku memuji beliau bukanlah kerana kefanatikan mahupun sebagai pujaan tetapi atas dasar perjuangan beliau yang benar-benar mahukan perubahan serta keadilan. Hari ini lihat saja ahli politik yang berkobar-kobar mengatakan tentang keadilan. Walhal mereka sendiri pun belum tentu lagi mengenal erti sebenar keadilan di alam realiti ini. Sedarlah kalian, suka aku mengingatkan bahawa kita berhadapan dengan realiti bukannya virtualiti. 

Aku berkata demikian kerna apa yang aku nampak pada hari ini kebanyakannya hanyalah satu teori yang tidak di praktiskan dan menyebabkan mereka hanya tahu berkata-kata tanpa melaluinya. Aku teringin sekali mengaitkan perjuangan yang dilalui che Guevara dapat di adaptasi di Malaysia. Kerana aku merasakan sudah sampai masanya Malaysia melalui suatu era revolusi pasca kemerdekaan. Sampai bila kita hendak meredhakan penipuan pilihan raya, sampai bila kita hendak membiarkan harga barang terus melambung hingga tiada bumbungnya, sampai bila juga kita hendak membiarkan kekayaan negara ini terus dimamah oleh golongan yang rakus lagi menikus ini. Persoalan demi persoalan yang terus timbul dari hari ke hari yang sepatutnya dijawab oleh bapak-bapak menteri namun jawapan yang sama dari dulu, kini dan selamanya iaitu “kalau you tak suka, you boleh keluar dari Malaysia” , terdetik dalam hatiku mengatakan kebodohan apakah yang hendak ditunjukkan oleh si rakus lagi menikus ini.

Aku masih teringat potongan ayat buya Hamka yang agak terkenal iaitu:

kalau hidup sekedar hidup,
babi di hutan juga hidup,
kalau bekerja sekedar bekerja,
kera juga bekerja,

Dapatlah aku menyamakan ayat di atas dengan sifat bapak-bapak menteri pada hari ini. Walaubagaimanapun, manusia itu dijadikan oleh Allah SWT dan ditinggikan darjatnya sebagai khalifah. Sungguh tidak patut jika aku menyamakan mereka dengan babi mahupun kera. Fikir-fikirkanlah wahai sang khalifah . Mengimbas kembali kepada persoalan keadilan yang aku lontarkan di awal tadi, di manakah hak yang sepatutnya diterima oleh golongan fakir miskin mahupun gelandangan. Lantas membuat aku tertanya-tanya apakah baitulmal masih berfungsi selaras tujuannya diwujudkan ketika zaman awal islam dahulu? Jangan dibanggakan kutipan zakat yang kian bertambah saban tahun jika kera dihutan disusukan tetapi anak sendiri mati kelaparan. Pernah suatu ketika aku melangkah keluar dari masjid Kg Baru sejurus solat terawikh, aku telah disergah oleh seorang pemuda yang agak kegelisahan. Beliau menceritakan kepadaku bahawa beliau seorang muallaf. Ya daripada iras rupanya, beliau seorang india. Namun, hatiku agak tersentuh di saat beliau menceritakan permintaan beliau kepada pihak baitulmal ditolak. Beliau tiada tempat bergantung setelah dibuang keluarga ekoran memeluk islam. Memohon pertolongan kepada pihak baitulmal juga ditolak. Disaat itu berjujuran air matanya mengalir, aku turut bersedih dan beliau mengharapkan aku dapat memberinya sedikit wang sebagai persediaannya menghadapi 1 syawal. Aku turutkan kerna ketika itu tiada apa lagi yang dapat aku fikirkan selain ingin membantu beliau. Jauh disudut hatiku, aku merasakan yang dunia ini tidak adil dan jika benar Malaysia ini sebuah negara yang aman dan sejahtera mengapakah hal sedemikian masih lagi berlaku. Sehingga bila birokrasi perlu diteruskan bagi membantu golongan yang memerlukan. Lantas timbul persoalan dimanakah fungsi Islam itu sebagai ramatan lil alamin.

Oleh sebab itu, aku tidak sedikit pun mengkritik mahupun menolak beberapa insan yang berdiri di tanah airku jika mereka mengatakan sesuatu yang berkaitan kemanusiaan. Sedikit pujian buat golongan anak muda yang seusia dengan diriku seperti saudara Benz Ali dan teman yang bergerak membantu golongan yang terpinggir ataupun gelandangan dan sentiasa mengadakan wasilah ataupun perbincangan ilmiah yang berkaitan kemanusiaan melalui sekolah pemikiran As-Syatibi.

Sesekali aku merenungi masa-masa lalu dan cuba memikirkan apa itu sosialis. Ya, aku mengenali perkataan sosialis sejak di bangku persekolahan di dalam subjek ekonomi asas. Lalu apakah kaitannya dengan dunia ini. Kaitannya apabila terdapat penindasan ekonomi dan sekaligus mempengaruhi kemanusiaan itu sendiri. Lihat saja, rakyat miskin pasti terus dengan kemiskinan mereka apabila terdapat penindasan ekonomi yang berterusan. Mengapakah Malaysia yang dikatakan sebagai negara yang penuh dengan hasil dan sentiasa bercambah pertumbuhan ekonominya tidak dapat menaikkan gaji asas ataupun tiada dasar gaji minimum yang sesuai dengan keadaan semasa. Aku tinggal di KL, dan bagi keramaian orang pasti mereka menganggap rakyat KL mewah dan hidup senang. Masalahnya ia tidak berlaku pada keseluruhannya, bayangkan seseorang yang bekerja di KL belum tentu lagi mampu mengumpul wang menunaikan haji berbanding penduduk kampung yang barangkali mampu melakukan haji dan umrah.

Jauh disudut hatiku, aku sentiasa mengharapkan seorang cedekiawan agama yang bijak dapat memegang tampuk perintahan negara dan mengubah segalanya. Penulisan aku pastinya tidak terhenti disini kerana aku selalu memikirkan adakah pengakhiran bagi semua ini adalah revolusi bersenjata kerana bagiku secara peribadinya adalah sesuatu yang diidamkan jiwa yang berdarah muda ini. Penulisan ini adalah luahan hatiku dan tidak memerlukan sesiapa mengkritik jika tidak puas hati.


#2345

#16052014